Sat. May 25th, 2024

Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah melakukan sesi walkabout peniaga di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Mahkota Square (Taman Kerang), Kuantan, Pahang diiringi bersama YB Sim Chon Siang, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Pahang dan YH Dato’ Hamdan bin Hussin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan.

Bazar Ramadan Rahmah (BRR) merupakan inisiatif terbaru KPDN untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar. Ini termasuklah dengan mengalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan/ produk yang seimbang berteraskan Menu RAHMAH kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan pada tahun ini. Untuk makluman juga, sekurang-kurangnya 30% peniaga menawarkan Menu RAHMAH sebagai pilihan kepada pengunjung BRR.

Bagi Negeri Pahang, 2 lokasi BRR telah menyertai inisiatif ini iaitu Bazar Ramadan Mahkota Square (Taman Kerang), Kuantan dan Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh. Manakala, Pelancaran BRR seluruh negara akan disempurnakan oleh YB Menteri KPDN pada 27 Mac 2023 di Putrajaya.

Pada masa yang sama, KPDN juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) dengan pemberian insentif e-tunai kepada pengguna/ peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama rakan penyedia di BRR tersebut tertakluk kepada 1,000 pengguna terawal. Bagi BRR Mahkota Square (Taman Kerang), Kuantan, tarikh pemberian insentif yang ditetapkan adalah sebanyak tiga (3) kali iaitu pada 25 Mac, 10 April dan 15 April 2023. Manakala bagi BRR Lurah Semantan, Temerloh, tarikh pemberian insentif yang ditetapkan juga sebanyak tiga (3) kali iaitu pada 31 Mac, 7 April dan 14 April 2023.

KPDN Negeri merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan dan Majlis Perbandaran Temerloh di atas komitmen yang sangat baik sepanjang menjayakan inisiatif BRR dan ReDI ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Pahang di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *