Tue. Apr 30th, 2024

Wanns Ahmad, bintang yang sedang meningkat naik dalam industri muzik, memenangi hati peminatnya sekali lagi dengan mengeluarkan single terbarunya, “Syayangku.” Wanns, yang nama sebenarnya Wan Nursalam Wan Ahmad, mula popular pada 2015 dengan lagu “Terus Mencintaimu.” Lagu itu telah menjadi viral semula dan menawarkan pengalaman bunyi yang lebih ceria dan menarik dengan hanya sentuhan unik dan inovasi Wanns.

Dalam satu kenyataan, Wanns Ahmad berkongsi, “Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi lagu terbaharu ini dengan semua peminat yang setia menunggu hampir 10 tahun selepas single pertama Terus Mencintaimu. Alhamdulillah, apa yang membuatkan saya lagi gembira lagu Syayangku juga turut diterima sebagai lagu OST drama Surat Dari Tuhan”.

“Syayangku adalah perasaan atau luahan hati terhadap seseorang yang kita jatuh cinta. Lagu ini turut mengajar kita untuk lebih berani untuk meluahkan isi hati kepada seseorang. Selain itu, saya juga ingin meraikan semua wanita terutama wanita yang berkongsi nama Sya dan untuk mereka yang menghadapi kesukaran menyebut huruf “S”, tambah Wanns lagi ketika ditemui dalam sidang media pelancaran lagu Syayangku yang bertempat di RedBox, The Gardens.

Muzik video rasmi untuk Syayangku telah dilancarkan pada 18 November 2023 di Youtube NSR Malay dan sehingga kini telah mencapai lebih 140,000 jumlah tontonan. Bukan sahaja berbakat sebagai seorang komposer dan penulis lirik, Wanns Ahmad sekali lagi membuktikan kebolehannya dengan mengarah dan menyunting sendiri muzik video tersebut.

Bercerita tentang perkembangan terbaharu, selain sibuk menguruskan kerjaya dalam dunia lakonannya, Wanns kini dalam proses menyiapkan lagu-lagu terbaharu dan merancang untuk mengeluarkan mini album atau EP yang mengandungi sekurang-kurangnya lima buah lagu.

“Selepas melihat sokongan peminat yang sangat positif dengan lagu Terus Mencintaimu dan Syayangku, saya mahu mengekalkan momentum ini dengan menghasilkan sebuah EP yang mengandungi lagu-lagu ciptaan saya dan bakal kelar tida lama lagi”, jelas Wanns yang berasal dari negeri jajahan Che Siti Wan Kembang.

Peminat dan pencinta seni hiburan dijeput untuk terus menyokong Wanns Ahmad dengan mendengar dan menghayati lagu Syayangku di semua platform muzik digital. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti laman sosial rasmi Wanns Ahmad seperti di Instagram, Facebook dan Tiktok.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *