Fri. May 3rd, 2024

Once Mekel menyimpan keterujaan kerana pertama kali bergandingan di Malaysia dengan dua rakan vokalis yang telah mencipta nama mereka sendiri melalui keunikan vokal masing-masing.

Once Mekel akan berkolaborasi bersama Bams Samsons dan Marcell melalui Konsert Trio Terhebat Vol. 1 yang dibawakan oleh Arena Muzik bersama sokongan Icon Entertainment.

Penyanyi berusia 53 tahun itu mahu memastikan perkongsian pentas mereka bertiga akan memberi kepuasan kepada peminat.

“Saya cukup teruja untuk berkongsi pentas Trio Terhebat bersama Bams Samsons dan Marcell. Jadi saat dilamar sahabat yang sangat saya percayai, Iman Tang dari Icon Entertainment saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan konsepnya.

“Seingat saya, saya pernah membuat persembahan bersama Marcell di Indonesia tetapi belum pernah dengan Bams.

“Sudah tentu (Trio Terhebat) ini akan menjadi sebuah konsert yang menarik dengan setiap daripada kami mungkin akan mempersembahkan sekitar lapan sehingga 10 buah lagu”.

“Setelah itu saya juga bakal mempunyai kesempatan membuat persembahan dengan band Marcell dan Bams Samsons,” kata penyanyi kelahiran Makkasar ini.

Selain pertama kali membuat persembahan bersama Marcell dan Bams Samsons, walau di negara kelahiran mereka, Malaysia, Once mahu pendengar dan peminat mengenalinya sebagai figura solo dan berdiri di atas nama Once Mekel, bukan sebagai vokalis Dewa 19.

Sedar bahawa namanya dan Dewa 19 tidak akan dapat dihapus dalam sejarah namun Once mahu peminat yang bakal hadir ke Konsert Trio Terhebat pada 4 Mei 2024 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre juga biasa dengan lagu-lagu hit miliknya sendiri.

“Apa yang pasti saya akan mempersembahkan lagu dari album-album solo Once Mekel seperti Dealova, Matilah Kau, Simfoni Indah dan Ku Cinta Kau Apa Adanya,” kata Once.

Vokalis yang terkenal dengan nada suara tinggi itu bagaimanapun tidak keberatan jika pihak penganjur iaitu Icon Entertainment mahu dia membawakan lagu Dewa 19.

“Namun secara peribadi saya tidak berhasrat membawa lagu-lagu dari Dewa 19. Tergantung permintaan (penganjur),” ujar Once lagi.

Ironi ketidakmahuan Once membawakan lagu-lagu Dewa 19 adalah kerana dihalang pengasas band fenomena itu, Ahmad Dhani. Dhani melarang membawa lagu-lagu Dewa 19 dalam persembahan solo Once kerana perihal royalti.

Mengulas mengenai isu tersebut, Once menyifatkan untuk kes bersama Dewa 19, Dhani wajar dan berhak ke atas karya yang dihasilkan.

“Cuma secara peribadi menurut saya jika seorang komposer menghalang penyanyi dengan lagu yang dibikin khas buat dirinya untuk dedikasikan di dalam persembahan, itu jadi tidak wajar.

“Soalnya isu royalti adalah antara pencipta dengan penganjur bukan bersama penyanyi. Penyanyi hanya menyampaikan karya yang dibuat untuk mereka,” ulas Once.

Dari Muzik ke Dunia Politik

Sementara itu bercakap mengenai percubaan pertamanya masuk ke dunia politik menerusi pencalonan dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat pada Pemilu 2024, ada harapan besar yang disandarkan Once.

Once yang merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Indonesia berharap agar dapat memperbaiki sturuktur dalam dunia muzik selain membantu masyarakat dalam kelangsungan hidup sehari-hari.

Sejak sekian lama sudah ramai rakan seangkatan dari dunia seni terjun ke dunia politik dan bersama mereka, Once mahu mencetuskan sesuatu yang lebih baik dan positif untuk industri kreatif Indonesia.

“Saya mahu memperjuangkan isu berkaitan artis mengenai hak cipta serta undang-undang, banyak perlu diperjuang terutama dari segi hak cipta dan undang-undang untuk terus membangunkan industri kreatif Indonesia.

“Dan selain itu saya mahu mendengar serta membantu masyarakat. Saya lebih senang anggap diri wakil rakyat daripada ahli politik kerana mahu dekat dengan rakyat,” katanya.

Kini Once berdebar menanti keputusan sama ada beliau akan lulus atau tidak menerusi keputusan pada 20 Mac ini.

“Setidaknya saya mahu dikenali sebagai wakil rakyat dengan imej bersih dan boleh dipercayai,” katanya yang masuk bertanding pada Februari lalu.

Meski mungkin akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai wakil rakyat, Once mengatakan sama sekali tidak akan meninggalkan dunia seni terutama sebagai penyanyi.

Justeru dia berharap agar peminat tidak lupa hadir menyaksikan Konsert Trio Terhebat 1.0 bersama Marcell dan Bams di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Mei 2024 ini.

Tiket-tiket dengan nama Kenangan Terindah ·MYR 1388.00 ; Dealova · MYR 558.00 ; Akhir Rasa Ini · MYR 458.00 ; Hilang Naluri · MYR 358.00 ; Semusim (S1) · MYR 308.00 boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.

Pemegang kad kredit Maybank akan menerima potongan harga sebanyak 12%. Manakala pemegang kad debit Maybank pula menerima potongan harga 10%.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *