Cokelat Kembali Menggegarkan Malaysia: Nostalgia yang Dinantikan

Band Cokelat, legenda muzik Indonesia yang tidak asing lagi, bakal menggamatkan pentas Malaysia selepas 14 tahun. Dengan deretan lagu-lagu hits yang memukau, konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada 7 September 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Kumpulan asal Bandung ini, yang dianggotai oleh Kikan (vokalis), Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass), dan Ervin (dram), pernah mengumumkan ‘perpisahan’ selama 12 tahun sebelum kembali bersatu pada tahun 2022. Kemunculan semula mereka pada Hari Kemerdekaan Indonesia berjaya mencuri hati peminat setia, dengan hantaran video di media sosial yang mengesahkan kembalinya Kikan dan Ervin menjadi tular dan membawa kegembiraan luar biasa kepada peminat Cokelat.

Kikan, mewakili Cokelat, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya untuk kembali ke Malaysia. “Seperti semua tahu, kali terakhir Cokelat membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun yang lepas. Memang sudah cukup lama. Kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat-peminat setia. Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia,” katanya. Tambah Kikan lagi, “Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggapkan seperti rumah kedua Cokelat.”

Menurut Pengarah Tanjak Global Services, Rosden Rahmat, yang juga penganjur konsert ini, persembahan ini adalah satu kejutan dan hadiah istimewa buat peminat Cokelat. “Kami ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar menjemput artis atau band yang sama pada setiap tahun,” ujarnya. Rosden juga menyatakan bahawa ahli kumpulan Cokelat mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Malaysia dan teruja untuk terus bekerjasama pada masa akan datang.

Lagu-lagu popular seperti “Karma,” “Segitiga,” “Luka Lama,” “Ku Pilih Dia,” “Pergi,” dan “Jauh” dijangka akan menghangatkan lagi suasana konsert nanti. Tiket konsert ini sudah mula dijual dengan pelbagai kategori harga seperti berikut:

  • Karma: RM189 (Rockzone Standing)
  • Segitiga: RM159 (Premium Standing)
  • Luka Lama: RM139 (Free Standing)
  • Jauh: RM285 (Premium Seating)
  • Pergi: RM235 (Standard Seating)
  • VIP: RM380 (PER PAX) (8 PAX PER ROOM)

Tiket boleh didapati menerusi pautan ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kemunculan semula band legenda ini dan menikmati malam yang penuh dengan nostalgia serta hiburan berkualiti tinggi. Mari bersama-sama meraikan kepulangan Cokelat di pentas Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *