Ernie Zakri Dengan Kelas Tersendiri Menampilkan ‘Masing Masing’ Versi Tradisional

Lagu nyanyian penyanyi terkenal Ernie Zakri, ‘Masing-Masing’, terus mendapat sambutan hangat bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara. Lagu yang dicipta oleh komposer dari Indonesia, Ade Govinda, ini turut melakar sejarah tersendiri apabila menduduki carta teratas di stesen radio tempatan dan Indonesia, selain ‘trending’ di laman sosial.

Ernie Zakri telah merakamkan lagu “Masing-Masing” dalam versi terbaharu iaitu tradisional. Ernie berkata bahawa versi baharu itu memberikan pengalaman yang berbeza baginya, apatah lagi ini adalah kali pertama beliau merakamkan lagu dalam versi tradisional.

“Sudah tentu pengalaman ini sangat berbeza kerana ini adalah kali pertama saya merakamkan genre tradisional. Apa yang boleh saya katakan, prosesnya sebenarnya tidak susah kerana sejak pertama kali mendengar muzik instrumental ‘Masing-Masing’ yang dibuat khas sempena majlis pelancaran album Aura dan pelantikan duta tudung Ayuwan pada November lalu, saya terus jatuh cinta dan bersetuju untuk menjadikannya sebagai versi lain juga.”

“Ramai peminat meminta kami untuk merakam bahagian vokal, dan saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk memperpanjang tempoh promosi lagu ‘Masing-Masing’. Saya berharap ramai yang dapat menikmati lagu ini sebagaimana mereka menikmati lagu-lagu lain.”

“Namun, versi tradisional lagu ‘Masing-Masing’ ini sangat berbeza dari segi sentuhannya. Versi ini adalah hasil idea dan susunan semula daripada Encik Feros dan komposer Amy Bong. Saya berharap usaha kami untuk tampil dengan sedikit kelainan ini dapat membuka ruang baharu bagi saya dan rakan-rakan penyanyi lain untuk menghasilkan lebih banyak lagu berirama tradisional. Saya fikir, kita perlu mula sekarang,” katanya.

Tambah Ernie, Masing Masing versi tradisional mendapat maklum balas positif daripada peminat.”Setakat apa yang sudah dikeluarkan untuk teaser, ramai orang suka. Orang sudah boleh jangka sebab mereka sudah tahu versi asal. Perasaan sedih itu akan lebih dirasai sebab versi tradisional lebih mendayu”.

“Pertama kali Encik Feros memperdengarkan kepada saya Masing Masing versi tradisional ini, saya sangat terkejut sebab tempo lagu ini menjadi lambat. Dengan itu, ia boleh ditambah baik dan menjadikan lagu ini lebih berbunyi Melayu, malah lebih ‘deep soul’ lagi apabila Ade Govinda turut memuji mengenai lagu Masing Masing versi tradisional.

“Semoga versi lagu ini lebih dikenali dan dapat dipersembahkan pada acara tradisional. Saya sangat menyukai Masing Masing dalam versi ini,” katanya. Kata Amy Bong, yang juga ‘rearranger’ untuk lagu Masing Masing versi tradisional, susunan lagu itu sudah dibincang antara Feros dan Ade Govinda bagi memberi kelainan kepada kerjaya nyanyian Ernie.

“Kami tahu Ernie boleh menyanyi banyak genre muzik dan banyak mendengar rujukan dari media sosial serta nyanyiannya secara langsung. Irama tradisional Ernie memang hebat, jadi tak salah jika kita angkat semula irama ini dan boleh berikan warna berbeza dalam industri muzik. Sekarang banyak lagu-lagu rancak dan irama tradisional kurang diangkat, jadi disebabkan itu juga kami buat,” katanya.

Video muzik rasmi lagu ini sudah mencecah 6.6 juta tontonan. Malah, lagu ini juga mengekalkan kedudukan nombor 1 di carta RIM semalam empat minggu. Lagu Masing Masing adalah single pertama yang dipertaruhkan daripada album Aura.

Lagu Masing Masing (Versi Traditional) boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 24th Mei 2024, lirik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *