Filem Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran

Filem yang mengangkat tema Islamik sebagai fokus utama jarang sekali dihasilkan oleh kebanyakan pembikin filem.

Dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh, syarikat produksi terkenal Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios), telah menghasilkan sebuah filem Islamik yang menyentuh hati tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

Perjalanan Pembuktian Cinta, adaptasi daripada novel ‘best seller’ karya penulis terkenal Nusaibah Azzahra, telah mendapat sambutan hangat dari peminat.

Justeru itu, syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh telah menghasilkan sebuah filem Islamik tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis berkenaan apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik.

“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latar belakang nilai  keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.

“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia  menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.

“Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini.

“Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik. Namum, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya  yang sememangnya memberikan banyak mesej-mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” jelasnya.

Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.

“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.

“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton akan lebih memahami lebih dekat dengan mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.

Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.

SINOPSIS

Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia  (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain. Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama. Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri. Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

BARISAN PELAKON

Dea Annisa                                                      – Fathia

Teuku Ryan                                                      – Raehan

Donny Damara                                                – Satya

Yayu A.W. Unru                                                – Syukron

Elma Theana                                                   – Laila

Muzakki Ramdhan                                          – Razak

Ananta Rispo                                                   – Dito

Dzawin                                                            – Hilman

Chand Kelvin                                                   Ustadz Hadi

Vonny Anggraini                                              Helen

Natasya Nurhalimah                                       – Amel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *