Sat. Apr 13th, 2024

Musim keenam program keluarga nombor satu Malaysia telah bermula! I Can See Your Voice Malaysia musim keenam (ICSYVMY 6) ialah sebuah program dengan corak lagu misteri berdasarkan tajuk yang sama program popular Korea Selatan. Musim lalu termasuk tiga ahli panel penyiasatan, tetapi musim ini berbeza dengan kemasukan seorang lagi ahli panel penyiasat, yang dijamin menyemarakkan lagi suasana studio.

ICSYVMY 6 akan bersiaran selama 11 episod dan membuka tirainya bersempena meraikan Sambutan Ulangtahun TV3 ke-39 iaitu bermula pada 4 Jun 2023, setiap hari Ahad, pada pukul 9.00 malam di TV3. Penonton juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

ICSYVMY 6 musim ini menampilkan Digi oleh CelcomDigi sebagai penaja utama, Nivea sebagai penaja bersama, serta Cadbury Dairy Milk dan OPPO sebagai rakan penaja.

Tugasan mengacara pada musim ini disandang oleh pelakon dan penyanyi terkenal yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan iaitu Izzue Islam dan Shiha Zikir. Ini merupakan kali pertama mereka berganding di atas pentas yang sama khas untuk menghiburkan peminat setia ICSYVMY.

Hujung minggu anda akan diceriakan lagi dengan pelbagai gelagat yang pasti menghiburkan dari panel penyiasat tetap yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal tanah air iaitu Jihan Muse, Khir Rahman, Baby Shima dan Ropie. Selepas Jihan membuat ‘comeback’ di pentas Anugerah Juara Lagu 37, beliau kini kembali semula ke ICSYVMY bagi memikul tanggungjawab sebagai barisan panel penyiasat tetap pada musim ini!

Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar. Dengan itu, panel penyiasat tetap akan memperoleh bantuan dari penyiasat undangan yang berlainan setiap episod. Antara penyiasat undangan yang akan meriuhkan lagi suasana adalah Maryam Younarae, Cik B, Joey Daud, Sweet Qismina, Bell Ngasri, Mek Yun, Fizi Ali, Roy Azman dan ramai lagi.

ICSYVMY 6 mempunyai 4 pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang di 3 pusingan awal. Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan bukan itu sahaja, pemenang bagi setiap episod juga akan membawa pulang bekalan produk Cadbury selama setahun! Manakala penyanyi sebenar akan mempunyai peluang untuk merakamkan sebuah single bersama artis popular tanah air.

Sidang produksi ICSYVMY 6 kali ini diketuai oleh Jamil Bin Hassan selaku Penerbit Eksekutif dan Shahrizan Bin Razalli sebagai Penerbit.

Sejak diperkenalkan, ICSYVMY telah mencipta fenomena tersendiri yang membuatkan sesi uji bakat untuk setiap musim sentiasa menerima sambutan yang luar biasa. Sesi ujibakat musim baharu yang telah diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama pada 17 Mac 2023 hingga 19 Mac 2023 yang lalu telah menerima lebih daripada 700 penyertaan.

Sidang media ICSYVMY 6 telah berlangsung pada hari ini di Cornerstone IPC, Kuala Lumpur yang merupakan penaja lokasi sidang media. Tidak dilupakan juga Noranom Event & Catering dan CL Bakery Sdn Bhd yang tampil sebagai penaja jamuan petang.

Anda sekeluarga kini adalah penyiasat! Maka jangan terlepas untuk siasat sambil berhibur bersama ICSYVMY 6 yang akan bermula bersiaran pada 4 Jun 2023, setiap hari Ahad, pada pukul 9.00 malam di TV3 dan para penonton juga boleh strim langsung secara definisi tinggi menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store. Bagi merancakkan lagi perbualan di laman media sosial, jangan lupa untuk gunakan tanda pagar #ICSYVMY.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *