Sat. Apr 13th, 2024

Famili Duo 2023 terus menjentik pelbagai emosi penonton di episod kedua siarannya pada hari Ahad, 22 Oktober yang lalu! Enam pasangan keluarga selebriti telah memberikan persembahan yang terbaik pada tema ‘Cinta’ mengikut interpretasi mereka tersendiri. Namun, dimanakah rentak pasangan suami isteri Tom & Fuad Rahman?

Selepas tiga musim bersiaran, kini identiti Famili Duo tampil lebih jelas ingin mempertengahkan persembahan yang kreatif di samping vokal berduet yang hebat. Bagi pasangan suami isteri Tom & Fuad yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri nyanyian pula, mereka masih menerima komen bahawa persembahan mereka kekurangan dari segi keserasian di atas pentas. Tambahan pula, markah kedudukan mereka lebih rendah berbanding pasangan pelawak Sharif & Syaiful.

Menurut juri profesional Mas Idayu, “Mummy suka kamu berdua boleh menjadikan lagu solo ni kepada versi lagu berduet, tetapi saya dapat rasakan kamu berdua seakan sedikit kekok ketika sedang membuat persembahan. Secara individu, Mummy sangat suka vokal Fuad dan Tom walaupun ada kekurangan dari segi tempo, tapi secara keseluruhan ia persembahan yang seronok. Mummy nampak awak tengok satu sama lain tetapi keserasiannya tidak dapat dirasakan dari pandangan penonton. Mungkin persembahan yang seterusnya boleh tingkatkan kreativiti pentas supaya anda boleh lebih menonjolkan keserasian berdua”.

“Kami terima segala komen yang telah diberi oleh juri profesional kerana mereka hanya menasihati dan inginkan yang terbaik buat persembahan kami. Bagi keserasian Fuad dan Tom pula, memang kami mengaku yang ada sedikit kekok di atas pentas. Sebelum ini kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak ingin para penonton nampak terlalu romantik walaupun sedang bertanding di program realiti. Setelah mendapat komen membina dari para juri itu, kami akan memperbaiki kekurangan kami dan lebihkan keserasian di atas pentas selain fokus kepada vokal. Minggu hadapan pula diberi cabaran tema rock, genre yang sememangnya forte kami, jadi kami akan terus berlatih dan cuba hasilkan persembahan yang lebih menarik. Semoga para peminat dan juri Mummy dan Ajai juga akan menyukai persembahan kami,” kongsi Fuad Rahman.

Lagu medley ‘Istana Menanti’ dan ‘Kesal’ nyanyian asal Rahim Maarof dan Ella yang dibawakan pasangan duo ini berjaya mendapat tempat ke-5 di carta mingguan setelah mengalahkan Ryan & Adam Bakery di tangga terakhir. Manakala minggu kedua Famili Duo 2023 dimenangi oleh pasangan sepupu, Haqiem Rusli & Ariff Bahran dengan persembahan medley Earth Song & We Will Not Go Down nyanyian asal Michael Jackson dan Michael Heart.

Berikut adalah senarai kedudukan persembahan di minggu kedua #FamiliDuo:

  1. Haqiem Rusli & Ariff Bahran 60.9%
  2. Shila Amzah & Syahir 45.4%
  3. Adira & Emma Suhaimi 45.3%
  4. Sharif & Syaiful 33.1%
  5. Tom & Fuad 32.8%
  6. Ryan & Adam Bakery 22.5%

Pasangan Tom & Fuad Rahman cukup terkenal dengan genre rock mereka di mana-mana pentas persembahan. Dapatkah tema minggu seterusnya iaitu ‘Rock – Medley / Slow & Fast’ menonjolkan sinergi dan keserasian mereka? Mampukah pasangan ini membawa kelainan dan merampas gelaran juara mingguan?

Famili Duo 3 ini dibawakan khas oleh penaja utama OGAWA, penaja bersama Elegant Cosmetics, dan rakan penaja Centrum Multivitamin. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital, serta Hot FM sebagai Famili Radio.

Famili Duo 3 diketuai oleh Russell Mark Rodrigues (pengurus projek), Muhamad Sufian Che Isa (penerbit eksekutif) dan Noradillah Binti Abdullah (penerbit). Gunakan hashtag #FamiliDuo untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial media.

Teruskan mengundi duo selebriti kegemaran anda di pentas persembahan Famili Duo seterusnya pada 29 Oktober 2023, pukul 9.00 malam di TV3! Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *