PECUTAN AKHIR FAMILI DUO 2023 DEMI MENEMPAH TIKET KE PUSINGAN AKHIR!

Selepas 6 minggu berentap, keenam-enam pasangan duo bakal berhadapan dengan sesi penyingkiran di pusingan separuh akhir Famili Duo 2023, yang akan berlangsung pada malam Ahad ini.

Menampilkan tema ‘‘Hip Hop / Dance’, apakah strategi dan persiapan duo adik-beradik Sharif & Syaiful ZERO, duo sepupu Haqiem Rusli & Ariff Bahran, duo adik beradik Adira & Emma Suhaimi, duo suami isteri Tom & Fuad Rahman, duo adik-beradik Ryan & Adam Bakery serta duo adik-beradik Shahir & Shila Amzah. Siapa antara mereka yang berjaya untuk menempah tiket ke pusingan akhir nanti?

STRESS BILA TAK HAFAL LIRIK! – SHARIF & SYAIFUL ZERO

Menang tiga kali di Famili Duo 2023 bukanlah alasan untuk duo adik-beradik ini untuk berasa selesa di pentas tersebut. Menurut Sharif, “Selepas 6 minggu, saya rasa kami improve dari segi nyanyian dan stamina. Kami memang menjaga stamina untuk persembahan. Banyak yang kami telah belajar daripada cikgu vokal iaitu Cikgu Delly, abang Zahid dan rakan-rakan pelawak yang lain. Kami rasa ‘struggle’ sebab tema minggu ini bukan forte kami dan tak pernah bawa genre ini. Yang penting, kami akan cuba dan memastikan kami selesa di pentas dan dapat menghiburkan penonton.”

Bagi persiapan dan kejutan untuk persembahan minggu ini, Sharif berkata, “Kami tampil dengan kejutan pada setiap minggu. Minggu ini, kejutan kami adalah membuat persembahan genre hip hop / dance yang kami tak pernah buat. Tunggu kejutan kami! Lagi satu, kami akan stress kalau lambat hafal lagu dan persembahan tak mantap. Jadi, nak hilangkan stress, kami akan berlatih setiap hari sampai hafal lagu. Bila kita asyik menyanyi dan enjoy dengan latihan, stress akan terus hilang. Kami akan pastikan setiap minggu kami bagikan yang terbaik.”

MEMANG STRESS TETAPI TAK PERNAH PUTUS ASA – HAQIEM RUSLI & ARIFF BAHRAN

Duo sepupu Haqiem Rusli & Ariff Bahran kini menduduki tangga kedua di carta keseluruhan hasil daripada lontaran idea yang kreatif dan memberikan prestasi yang konsisten di setiap minggu. Menurut Bahran, “Sepanjang dalam Famili Duo ini, kami berpeluang untuk membuat persembahan mengikut konsep berlainan setiap minggu. Kami sedar persembahan yang mempunyai konsep ini lebih menarik dan menonjol tetapi bukan mudah! Apabila mempunyai konsep tertentu, ia membuatkan kami perlu bekerja lebih keras.”

“Konsep minggu ini pula ialah Hip Hop / Dance yang sememangnya bukan forte kami berdua dan tentunya mencabar sikit. InsyaAllah, dengan usaha dan latihan, kami akan cuba sedaya upaya untuk menyampaikan persembahan yang baik untuk minggu ini. Setiap pertandingan mesti ada stress termasuklah Famili Duo. Saya rasa beban stress tu kurang sikit sebab saya naik pentas bukan seorang, tetapi berdua, dengan Haqiem sepupu saya. Jadi, apa-apa masalah, kami akan berbincang dan selesaikan dengan baik. Kami tak pernah nak berputus asa untuk bagi yang terbaik dan tidak putus mendapat sokongan daripada kedua-dua belah keluarga.”

Haqiem juga berkongsi pendapatnya. “Kini kami lebih faham konsep persembahan Famili Duo. Ia sangat bagus untuk kami mantapkan lagi prestasi  persembahan kami dan boleh digunakan di mana-mana pentas yang lain. Hip Hop/dance bukan forte kami, tapi bagi menghormati konsep,  sudah pastinya kami akan rap dan buat sketsa, cuma kejutan persembahan, anda semua kena tunggu malam itu. Kami perlu perah otak untuk menang hati juri dan memberikan persembahan yang unik. Saya berharap dapat lepas ke pentas final.”

STRUGGLE DENGAN TEMA HIP HOP/ DANCE – EMMA & ADIRA SUHAIMI

Emma dan Adira Suhaimi sentiasa memberikan persembahan yang memukau di pentas Famili Duo dan pernah memenangi gelaran Duo Terbaik di minggu ketiga. Menurut Emma, “Selepas 6 minggu bertanding, Emma nampak prestasi kami masih boleh diasah dan dipertingkatkan lagi. Kami tidak melihat diri sudah berada di atas. Setiap minggu, kami mengambil kira apa yang diberikan oleh juri dan perbaiki kelemahan dari situ. Sebenarnya sebagai seorang penghibur, kami tahu vokal tak cukup untuk membawakan persembahan yang menghiburkan. Kami sentiasa dapat idea dan pendapat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk persembahan. Stress itu memang tidak dapat lari dan nak hilangkan stress, kami menghabiskan masa dengan ahli keluarga terutamanya melayan anak-anak Adira, terus hilang stress. Kami banyak menghabiskan masa di rumah untuk latihan dan persiapan untuk Famili Duo.”

Adira pula berpendapat perubahan paling ketara ialah membawakan pelbagai genre. “Kami keluar dari zon selesa dan cuba pelbagai genre. Itulah cabaran kami tetapi cabaran ini buat minda kami terbuka kerana sebenarnya apabila membawakan genre-genre berlainan, ia jadi sangat seronok. Sebelum ini, saya tidak selesa dengan lagu-lagu Inggeris tapi untuk Famili Duo, saya berani mencuba,” kata Adira.

STRESS APABILA PEMILIHAN LAGU – RYAN & ADAM BAKERY

Bagi Ryan dan Adam Bakery, mereka bersyukur kerana dipilih untuk menyertai Famili Duo 3 ini. Banyak pengalaman yang telah ditimba kerana mengakui mereka hanya dikenali sebagai pempengaruh menerusi platform media sosial. Menurut Ryan, “Kami berasa amat bersyukur dan Alhamdulillah dengan Famili Duo 3 ini, kami banyak improve dari segi keyakinan diri. Kalau dulu rasa shaking setiap kali berdepan dengan orang ramai, sekarang tak terlalu gugup. Banyak yang kami belajar, antaranya membuat persembahan dan mengetengahkan kreativiti dan belajar teknik nyanyian dengan pergi ke kelas vokal.

“Kita akan rap dan ada tarian dalam persembahan minggu ini. Pertandingan ini bagi saya, tak stress tetapi ia seronok. Ia bukan sekadar vokal, ia juga mengetengahkan kreativiti dan konsep persembahan. Setelah menggabungkan semua, ia jadi seronok. Sangat mencabar apabila nak memilih lagu, lepas tu kena fikir konsep apa yang boleh dibawa.”

TAK MUSTAHIL PENYANYI ROCK BAWAKAN LAGU HIP HOP/DANCE – TOM & FUAD RAHMAN

Di awal pertandingan, duo suami isteri yang merupakan penyanyi Rock sering menerima kritikan dimana mereka tiada mempunyai keserasian dan tidak memahami konsep Famili Duo. Namun, dari minggu ke minggu, Tom dan Fuad tampil lebih yakin dan mereka berjaya menerima markah penuh iaitu perfect 10 daripada juri di minggu lepas. Apakah kejutan yang bakal disajikan di semi final nanti?

Menurut Fuad, “Kami penyanyi rock, dan memang amat mencabar buat kami apabila diberi genre yang lain. Tapi untuk menjadi penyanyi berkaliber, kita perlu mencuba semua genre lagu dan perlu keluar dari zon selesa. Famili Duo dapat membuka platform untuk kami menyanyi pelbagai genre. Minggu semifinal ini paling mencabar kerana perlu bawa genre hip hop / dance yang tak pernah seumur hidup bawakan genre ini. Kami rasa teruja tetapi pada masa yang sama, kami rasa seram. Kali ini, kami perlu buang imej rockers dan all out untuk Hip Hop / dance.”

“Kami banyak muhasabah diri dan bersolat untuk mengatasi stress. Sepanjang Famili Duo ini, salah seorang perlu mengalah sebab kalau tak, masing-masing akan stress. Saya tak nak Tom stress dalam keadaannya sekarang. Fuad banyak belajar dari peserta yang lain dan krew produksi pula tidak lokek ilmu untuk berkongsi tips memperbaiki persembahan kami. Tahap stress mungkin sudah sampai ke maksimum sebab Fuad kena rap dan berjoget. Fuad berharap minggu ini kami dapat buat yang terbaik untuk peminat, produksi dan juga kumpulan muzik yang banyak membantu.”

FD2023 ERATKAN HUBUNGAN KAMI – SYAHIR & SHILA AMZAH

Menurut Shila “Motif utama kami ke Famili Duo adalah untuk bonding adik beradik dan melakar sejarah bersama-sama membuat persembahan di pentas FD. Saya yakin Syahir telah dapat mengeluarkan diri dari zon selamat, dan mencapai satu keyakinan baharu untuk berhadapan dengan khalayak yang baru. Di samping itu, kami juga dapat menemui banyak benda baharu dan lebih mengenali satu sama lain melalui pengalaman kami di FD ini.”

“Alhamdulillah kami sentiasa cuba yang terbaik untuk setiap tema yang dipilih. Kami tak pernah putus asa bahkan lebih bersemangat untuk enjoy dan berikan yang terbaik. Sudah tentu mengikut pada tema, kami akan ada tarian yang kami mahu tonjolkan.”

Jangan terlepas juga peluang untuk gandakan sokongan buat duo kegemaran anda sebanyak 50 kali undian apabila anda menggunakan kod ‘FAMILIDUO2023’ ketika melanggan pakej TontonUP dengan harga serendah RM20 bagi 3 bulan pertama. Nantikan pentas persembahan Famili Duo seterusnya pada 26 November 2023, pukul 9.00 malam di TV3. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *