“Pelancaran Volvo BZL-GML Eco Range: Langkah Ke Arah Masa Depan Elektrik Premium di Malaysia”

Rapid Bus Sdn Bhd dan Volvo Buses telah menandatangani MOU untuk menjalankan operasi percubaan bas bandar elektrik baharu ini, yang dijadualkan akan bermula pada bulan Julai ini. Bas bandar elektrik premium berlantai rendah, Volvo BZL-GML Eco Range yang serba baharu, merupakan hasil kerjasama dua pengeluar terkemuka dalam industri bas antarabangsa dan tempatan, iaitu Volvo Buses dan Gemilang International Ltd. Ini bertujuan untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan sifar emisi yang terkemuka di Malaysia.

Volvo Buses yang merupakan sebahagian daripada Volvo Group, dan salah satu pengeluar utama penyelesaian pengangkutan lestari di seluruh dunia telah bersama-sama dengan Gemilang International Ltd (Gemilang), pengilang badan bas dan koc tempatan terbesar di Malaysia akan melancarkan model bas baru, Volvo BZL-GML Eco Range. Pelancaran ini memperkenalkan bas elektrik bandar kelas premium yang berlantai rendah dengan dua pintu pertama yang dibina di dalam negara oleh Volvo.

Semasa majlis pelancaran, satu acara menandatangani perjanjian dengan Rapid Bus Sdn Bhd (“Rapid Bus”) turut diadakan untuk memuktamadkan pelaksanaan operasi percubaan yang melibatkan Volvo BZL-GML Eco Range untuk perkhidmatan bas Rapid KL, Kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij sebagai wakil syarikat tersebut. Operasi percubaan dijadualkan untuk bermula pada Julai 2024 dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya enam (6) bulan hingga satu (1) tahun. Sebuah unit bas elektrik Volvo BZL-GML Eco Range akan beroperasi di Laluan 581, iaitu perjalanan Desa Tasik – LRT Bandar Tasik Selatan.

Bas tersebut mengintegrasikan pengalaman mobiliti elektrik Volvo di Eropah dengan inovasi dan kepakaran tempatan yang luar biasa dari Gemilang dalam menghasilkan badan bas elektrik. Bas ini akan menawarkan keselamatan, kecekapan, dan penyelesaian pengangkutan bebas emisi di kawasan bandar. Chasis dan komponen pacuan kuasa yang efisien tenaga daripada Volvo BZL telah dirangka dan dibina mengikut standard tertinggi di kilang pengeluaran Volvo di Sweden. Ia menggunakan bahan premium dan reka bentuk struktur yang canggih untuk memberikan kapasiti penyimpanan tenaga dan kekuatan terbaik.

Menurut kedua-dua syarikat tersebut, bas bandar elektrik premium ini dijangka akan membawa transformasi yang signifikan dalam industri, sekaligus memperkasa pertumbuhan segmen bas elektrik di Malaysia dan mempercepat usaha menuju kepada masa depan yang lebih mapan.

Menyokong Transformasi Sektor Pengangkutan Awam dan Aspirasi Neutral Karbon Malaysia

Volvo BZL-GML Eco Range yang baharu menawarkan penyelesaian pengangkutan awam sifar emisi yang selaras dengan pelan Malaysia untuk meningkatkan penggunaan bas elektrik di bandar-bandar utama, terutamanya di Lembah Klang. Ini memberi sokongan kepada usaha elektrifikasi Rapid Bus, yang bercadang untuk menggantikan bas diesel dengan bas elektrik menjelang tahun 2030. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor pengangkutan awam dan mengurangkan pencemaran udara di kawasan bandar. Langkah ini juga menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang neutral karbon menjelang tahun 2050.

Volvo BZL-GML Eco Range merupakan penyelesaian yang inovatif dan mesra alam untuk kegunaan orang ramai. Dijangka dapat mengurangkan emisi karbon dioksida sehingga 60%, atau kira-kira 329kg bagi setiap penumpang setiap tahun untuk setiap perjalanan sejauh 15,000km, berbanding dengan bas diesel untuk jarak yang sama.

Kos Operasi Efisien dan Kapasiti Penumpang Lebih Tinggi 

Dibina di atas varian chasis Volvo BZL 4×2 yang terkenal kerana rangkaian kuasa elektrik yang terbukti di seluruh dunia, GML Eco Range binaan tempatan direka untuk menawarkan operasi bas bandar yang efisien. Ia menampilkan rekaan lantai rata sepenuhnya dan rendah dari bahagian hadapan ke belakang, memberikan kestabilan dan akses lebih mudah kepada penumpang.  

Badan bas ini juga mempunyai reka bentuk modular yang boleh dibina mengikut keperluan pelanggan. Reka bentuk modular menyumbang kepada kos pembaikan yang lebih rendah, mengurangkan tempoh tidak dapat beroperasi dan memudahkan urusan penyimpanan alat ganti. 

Bas ini boleh membawa sehingga 91 orang penumpang dengan kapasiti 33 tempat duduk termasuklah kerusi keselamatan, kerusi untuk golongan tertentu, kerusi boleh lipat dan ruang penumpang berdiri, bergantung kepada pilihan panjang badan bas. Badan bas ini boleh diubah suai dari sepanjang 10.6 hingga 12.5 meter. 

Ketahanan luar biasa dengan Standard Keselamatan Global 

Volvo BZL-GML Eco Range dibina di atas struktur tegar berasaskan kepada standard keselamatan paling ketat yang telah diuji, diaplikasi dan terbukti di Eropah. Rangkaian pacuan berkuasa dipasang dengan pelbagai teknologi brek termaju yang merangkumi brek cakera Volvo, Sistem Brek Elektronik (EBS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Acceleration Slip Regulator (ASR), Brake Blending, Bantuan Mula Mendaki (HAS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC). Sebagai tambahan, ciri-ciri keselamatan lain seperti amaran pelepasan, amaran pelanggaran, kamera 360 dan e-cermin untuk membantu pemandu akan ditawarkan sebagai pilihan. 

Chasis eletrik mempunyai sistem keselamatan multi lapisan dengan standard yang mematuhi syarat perundangan Eropah bagi memastikan tahap keselamatan maksimum sepanjang masa, terutama berkaitan dengan pengurusan suhu. Keselamatan sangat diambil berat dalam semua aspek Sistem Penyimpanan Tenaga bas tersebut. Ia melibatkan reka bentuk dan pek sel bateri, pencegahan litar pintas dan terputus sambungan, sistem pengurusan bateri serta kawalan pengurusan suhu bagi melindungi daripada kerosakan. 

Dalam keadaan kerosakan yang agak mustahil untuk berlaku, sel bateri dan bahagian sekitarnya direka untuk ‘memadamkan dirinya sendiri’ dengan cara mengeluarkan agen menghapuskan suhu secara automatik supaya sel bateri berhampiran tidak rosak. Ciri itu terbukti berkesan dalam ujian yang telah dijalankan berulang-ulang kali. 

Bas elektrik Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan pengecasan yang fleksibel melalui perkakasan antara muka OppCharge untuk pengecasan berkuasa tinggi automatik dan soket pengecas CCS. Storan tenaga diletakkan di atas bumbung, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada penumpang dan mengoptimumkan agihan berat. 

Pengangkutan Urban Berkualiti 

Bas Volvo BZL-GML Eco Range dilengkapi sistem pendingin udara yang berkuasa dan cekap. Ia disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga yang mengoptimumkan bekalan tenaga supaya dapat digunakan dengan cara paling efisien.  

Badan bas dibina menggunakan panel kaca dua salutan berkualiti tinggi yang membolehkan cahaya masuk ke dalam kabin pada waktu siang. Pada masa sama, kaca itu menghalang kemasukan haba panas matahari dan bunyi bising trafik dari luar.  Semua ciri ini menjanjikan perjalanan yang senyap dan selesa dalam sebuah kabin yang cerah, sejuk dan menenangkan kepada semua penumpang Volvo BZL-GML Eco Range, seterusnya meningkatkan pengalaman perjalanan mereka di kawasan bandar. 

Ruang pemandu pula dilengkapi kluster instrumen supaya bas ini mudah dipandu. Kerusi keselamatan direka secara ergonomik dan mekanikalnya untuk menawarkan pelbagai ciri ubah suai yang mampu meningkatkan keselesaan pemanduan secara keseluruhannya. 

Rangkaian kuasa yang mencecah 400 kW (540 hp) membuatkan pecutan dan keupayaan menaiki bukit Volvo BZL-GML Eco Range sangat mudah, malah ia menawarkan kuasa tork yang serta-merta. Bas bandar elektrik Volvo BZL-GML Eco Range dijangka mengubah masa depan pergerakan di kawasan bandar apabila menawarkan pengalaman berbeza kepada pemandu dan penumpang di Malaysia. 

Pengurus Negara Volvo Buses Malaysia, Marcus Mak berkata “Sebagai penyedia penyelesaian pengangkutan global yang fokus kepada inovasi termaju, matlamat Volvo adalah untuk menawarkan sistem bas elektrik yang paling selamat dan bertanggungjawab kepada dunia. Kami percaya bahawa mobiliti elektrik merupakan salah satu penyelesaian terbaik yang memberikan masa depan lebih baik buat semua. Pengenalan Volvo BZL-GML Eco Range akan menyumbang kepada alam sekitar yang lebih lestari menerusi sifar emisi. Pada masa sama memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rangkaian industri melalui peningkatan pemahaman terhadap teknologi mobiliti elektrik termaju.”

Pengarah Eksekutif Gemilang International Ltd, Pang Jun Jie berkata, “Pengenalan trak Volvo BZL-GML Eco Range serba baharu hari ini ke pasaran tempatan memang tepat pada masanya kerana Rapid Bus sedang merancang untuk mengembangkan jumlah bas elektriknya sebagai sebahagian daripada program elektrifikasinya. Dengan kerangka badan aluminium, Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan aspek ketahanan, tahap keselamatan dan prestasi alam sekitar luar biasa yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan pengangkutan awam di Malaysia. Gemilang mempunyai matlamat yang sama dengan Volvo dalam mencapai kelestarian menerusi mobiliti elektrik, selari dengan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon dan menggalakkan mobiliti hijau di Lembah Klang serta bandar-bandar utama yang lain.”  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *