Single Terbaru Kumpulan Insomniacks Berjudul ‘Teman’

Kumpulan tempatan Insomniacks semakin dikenali dalam arena muzik Malaysia pada masa kini. Sejak mula berjinak dalam industri ini, lagu-lagu mereka telah menjadi kegemaran dikalangan remaja tempatan dan menjadi viral di pelbagai platform media sosial. Kini, mereka kembali dengan satu lagi lagu yang menarik bertajuk ‘Teman’.

Melodi muzik dan lirik ditulis oleh ahli kumpulan ini sendiri iaitu Iqie, digubah dan dibantu oleh Bajai, penerbit yang tidak asing lagi bersama Insomniacks.

“Lagu ini tentang sentiasa berada di sisi orang yang kita sayang. Ia ditulis dengan niat untuk menemani mereka yang sukar tidur di waktu malam,” ujar Iqie

“Kami mendapat ilham untuk menulis lagu ini selepas ramai pendengar kami memberitahu bahawa muzik kami sering menemani mereka dalam pelbagai aktiviti, seperti dalam perjalanan ke tempat kerja atau belajar, selain waktu mengulang kaji pelajaran dan juga saat masih terjaga di waktu malam. Kami mahu diskografi kami mengandungi lagu-lagu yang boleh menjadi lagu pengantar tidur juga.

Selain itu, proses rakamannya juga menyenangkan. Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya kerana dapat bekerja dengan dua orang ayah saudara saya yang juga pemuzik berbakat dengan banyak pengalaman dalam industri muzik,” jelas Iqie lagi tentang karya ini.

Seiring dengan terbitan lagu ini oleh Universal Music Malaysia, lagu ini juga ditampilkan dengan visual dan jalan cerita yang menarik dari segi cinematography dan visual grafik yang menarik untuk pendengar menghayati bait bait lagu ini melalui visual pesanan, untuk mementingkan persahabatan dan sentiasa berada disisi di saat diperlukan. Ada yang merasa menemani seseorang itu membuang masa dan tiada pulangan, Ia mungkin kedengaran benar namun hidup perlu bermasyarakat, membantu satu sama lain dan berada di samping orang yang kita sayang
adalah penting kerana kita tidak tahu bila kita mungkin perlukan teman sendiri.

Berkenaan proses rakaman video, Pengarah, Dick Wai dan pasukannya daripda Unfold Production banyak membantu kami dari segi lakonan dan permintaan kami untuk mewujudkan jalan cerita yang kukuh dan baik’, ujar Iskandar tentang pembikinan video muzik Teman.

“Saya berharap pendengar dapat memahami maksud di balik lagu yang penuh bermakna buat kami ini. Semoga lagu ini menjadi ikutan dan siulan di konsert-konsert dalam kalangan peminat kami. Saya juga harap mereka dapat merasai nilai persahabatan yang cuba kami paparkan di dalam video ini,” bingkas Dan menutup bicara.

Single Teman boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dah Youtube Music pada 1 Mac 2024, muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Insomniacks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *