YEF 2024: Melaksanakan Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia.

‘Youth Empowerment Fair 2024’, yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 dan 4 Februari yang lalu menyediakan berbagai solusi dan pandangan bagi mengatasi isu-isu belia masa kini. Acara tersebut akan menampilkan tokoh-tokoh utama dari kalangan Menteri-Menteri Kabinet, pemimpin korporat, dan ahli sukan, terutamanya dalam usaha melaksanakan Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia yang diumumkan oleh Kerajaan pada tahun lepas.

Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia bertujuan meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terbabit dalam sektor pekerjaan tidak formal selaras dengan aspirasi YEF 2024, yang dianjurkan oleh Yayasan Go-Strong Malaysia.

“YEF24 meneruskan usaha nasional dalam membina jambatan dan ruang wacana bagi belia dan pemimpin untuk kemajuan Malaysia pada tahun ini dengan memperjuangkan tiga tiang utama iaitu Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan bersama Matlamat Pembangunan Mampan (MPM). Ia menawarkan 10 forum pendidikan, bengkel dan sesi diskusi intim secara percuma bagi semua rakyat Malaysia.

“Forum-forum ini merangkumi pelbagai topik untuk melengkapi golongan belia dengan pengetahuan dan kemahiran yang penting untuk pembangunan peribadi dan profesional. Forum keusahawanan, literasi digital, pendidikan transformatif dan sebagainya disampaikan daripada pakar industri tempatan Malaysia,” menurut ketua penganjur YEF 2024 dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Selepas perasmian, program hari pertama akan turut menyaksikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai perbincangan dalam menggalakkan ‘zero emission’ bersama-sama dengan Puan Sharifah Bakar Ali, Ketua ESG UEM Edgenta; Ir. Ts. Dr. Gideon Tan Xiang Yee, Ketua Transformasi Kumpulan FGV Holdings; dan Dr. Chen Wei Nee, yang merupakan Ketua Pasaran Karbon di BURSA Malaysia.

Ini akan disusuli pula dengan segmen bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang akan membicarakan topik Accelerating Malaysia’s Sustainable Future bersama-sama dengan tokoh belia, Encik Kamil Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Dato’ Sri Anwar dan tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, yang merupakan Pengasas Berjaya Corporation.

Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar, yang kini menjadi Pengarah Eksekutif Persona Energy dan Pengarah Program Technology Transfer Apprenticeship Programme (TTAP), akan turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dalam sesi perbincangan mengenai ‘Transformative Education for a Sustainable Digital’ bersama-sama dengan Encik Danial Rahman, Pengarah Sunway; Dr Azni Zarina Taha, Timbalan Pengarah Pusat Konsultansi Universiti Malaya, dan Cik Prema Ponnudurai, Ketua Jabatan, Sekolah Media dan Komunikasi, Taylors University.

Program hari kedua YEF 2024 pada Ahad, 4 Februari akan bermula dengan ceramah Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berhubung dengan tajuk ‘Tech Talk, Malaysian Communication Summit- Charting the Future Together’, yang akan turut disertai oleh Presiden PRCA, Prof. Hj. Mohd Said Bani.

Ini akan disusuli dengan perbincangan bersama Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Mohd Salem Kailany, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings mengenai ‘Youthpreneur – Originality Is Key To Business Sustainability’.

Untuk maklumat lanjut mengenai YEF24 dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana untuk Memacu Masa Depan Pembangunan Lestari di Malaysia layari: www.youthempowermentfair.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *