Sat. Apr 27th, 2024
Selebriti yang mungkin akan membuat penampilan di konsert anjuran HYPE GLOBAL VENTURES

Sempena bulan kemerdekaan, HYPE GLOBAL VENTURES tidak melepaskan peluang untuk memperingati tanggal 31 Ogos, hari bersejarah buat semua rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak.

Jika HYPE GLOBAL VENTURES sebelum ini dikenali sebagai penganjur yang banyak terlibat dalam acara uptown dan pengurusan jualan, tahun ini ia menjadi langkah pertama mereka untuk mengembangkan nama mereka melalui acara hiburan seperti konsert yang bakal dilangsungkan.

Dua acara akan diadakan di Tawau, Sabah, dan The Mines Sri Kembangan, Selangor sebagai sebahagian daripada acara hiburan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh HYPE GLOBAL VENTURES berbekalkan semangat nasionalisme yang kuat.

Acara yang dinamakan Konsert Malam Merdeka Bah Kita 2022 akan diadakan di Kompleks Sukan Tawau pada 30 Ogos 2022 seperti yang telah dijadualkan. Konsert tersebut akan membuka tirai pada jam 6 petang dengan tiket berharga RM45, RM80 dan RM120 bagi setiap kategori.

Selain itu, barisan penghibur yang turut dijemput oleh pihak penganjur mempunyai peminat yang ramai. Ia menjadi pembakar semangat apabila HYPE GLOBAL VENTURES mengimport penyanyi terkenal dari Indonesia bagi menghangatkan lagi malam kemerdekaan negara sebagai simbol kekeluargaan dan keharmonian antara dua buah negara.

Antara selebriti yang akan tampil menghiburkan para pengunjung adalah Isnin Umbrella, Hazama, Shidi Data, Azan, Hafiz Umbrella, Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka dan Valdy Nyonk.

Angga Candra

“Semua barisan penyanyi yang kami bawakan pada Malam Merdeka Bah Kita 2022 mempunyai pengikut dan digemari kelompok peminat pada masa kini.

“Malah ada dalam kalangan artis Indonesia yang kita bawa mempunyai jumlah tontonan lebih 100 juta di YouTube.

“Sengaja kami gabungkan barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia sebagai lambang serumpun pada malam bersejarah itu nanti,” ujar Pengarah Pengurusan Hype Global Ventures, Johari Mohd Yusof.

Seterusnya, karnival yang bertempat di Tawau ini akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula dari 28 sehingga 30 Ogos 2022 sebagai simbol kemuncak menyambut kemerdekaan Malaysia kali ke-65.

Selain konsert yang menjadi tumpuan acara karnival di Tawau, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti yang menarik. Antaranya adalah pertandingan karaoke, battle of the band, jualan karnival makanan serta pelbagai barangan dan pakaian.

Bagi merancakkan lagi suasana pada malam 30 Ogos, pengunjung yang bertuah mungkin akan membawa pulang hadiah utama atau ‘lucky draw’ yang merupakan sebuah motorsikal 250cc.

“Kami sangat mengalu alukan kedatangan pengunjung bukan sahaja dari Tawau atau Sabah, tetapi juga Indonesia memandangkan lokasi karnival dan konsert iaitu Kompleks Sukan Tawau mempunyai kapasiti yang luas selain berdekatan dengan Kalimantan,” tambah Johari.

Bagi mengekalkan semangat nasionalisme dalam jiwa masyarakat Malaysia, HYPE GLOBAL VENTURES menganjurkan persembahan kedua, Malam Santai Musical pada 2 September 2022 di Hype Uptown Night Bazar Seri Kembangan.

Persembahan yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan menyaksikan penampilan istimewa oleh Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka, dan Valdy Nyonk untuk menghiburkan pengunjung di Uptown yang sememangnya menjadi tumpuan ramai.

Dua harga tiket yang dijual mengikut kategori iaitu RM65 dan RM165.

“Pemilihan melakukan persembahan di lokasi Uptown The Mines pula kerana di sinilah tapak pemula HYPE. Kita mempunyai lebih 400 kedai di sini dan secara tak langsung dengan penganjuran persembahan ini ia akan menambah nilai promosi kepada tempat ini,” kata Johari.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *