MEMPERKASA RAKYAT SABAH DALAM MEMBANTERAS JENAYAH SCAM MELALUI PELAKSANAAN PROGRAM JELAJAH ANTI-SCAM KEBANGSAAN

Siri Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023  meneruskan misinya untuk meningkatkan kesedaran awam rakyat negeri Sabah mengenai penipuan (scam) dan ancaman siber. Program ini yang dianjurkan bersama oleh CyberSecurity Malaysia dan CelcomDigi dengan kerjasama Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) serta sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diadakan pada 28 dan 29 Oktober 2023 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program kesedaran awam ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai jenis-jenis jenayah scam, modus operandi terkini, serta tips amalan terbaik untuk mengelakkan diri daripada mudah terpedaya dan menjadi mangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Mohd Zin (Bersara) menekankan bahawa “Jenayah scam di Malaysia masih berleluasa walaupun usaha dijalankan oleh pelbagai pihak untuk membanteras jenayah ini. Scammer masih aktif dengan menggunakan pelbagai bentuk modus operandi dan taktik untuk menipu serta memperdaya orang ramai. Mereka mengambil kesempatan daripada kedaifan, ketakutan, atau ketidaktahuan mangsa untuk mencuri wang. Oleh itu, bagi mengatasi isu ini, sangat penting untuk kita tingkatkan program kesedaran awam mengenai jenayah scam. Individu perlu sentiasa berwaspada dan tidak memberi maklumat peribadi atau wang kepada pihak yang mencurigakan.”

Sepanjang tahun 2022, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia mencatatkan sebanyak 7,292 insiden keselamatan siber. Daripada jumlah ini, insiden penipuan dalam talian merupakan insiden yang paling banyak dilaporkan, iaitu 4,741 kes atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan laporan.

Manakala, dari bulan Januari sehingga September 2023, Cyber999 menerima sebanyak 4,381 insiden keselamatan siber dengan insiden penipuan dalam talian masih berada pada kedudukan teratas dengan jumlah laporan sebanyak 2,788.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, “Sebagai penyedia perkhidmatan digital, kami mempunyai tanggungjawab kami dalam mewujudkan pengalaman internet yang lebih selamat untuk semua warga digital. Kami menekankan prinsip A.C.T (BERTINDAK) iaitu memupuk Kesedaran (Awareness), meningkatkan tahap Pematuhan (Compliance) dalam organisasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan, serta mengoptimumkan penggunaaan Teknologi (Technology) dalam memerangi ancaman scam. CelcomDigi memahami kepentingan menyediakan kesalinghubungan internet yang kondusif dan selamat untuk semua pengguna selain bertanggungjawab menyemai kemahiran penggunaan internet yang selamat di kalangan rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa inisiatif secara kolektif ini dapat memberikan impak yang besar dalam memerangi scam secara berkesan.”

Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Teks ucapan beliau dibacakan oleh YB Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III/ Menteri Kerja Raya yang mewakili Ketua Menteri.

Turut hadir ialah YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital; YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Mohd Zin (Bersara), Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia; dan Joachim Rajaram, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi.

Lebih 400 peserta terdiri daripada para pelajar IPT, pensyarah dan guru, remaja dan belia, ibu bapa serta wakil komuniti setempat termasuk penjawat awam negeri Sabah hadir pada sesi dialog dan forum anti-scam sempena program ini.

Sabah merupakan negeri ke-empat siri jelajah anti-scam selain Selangor/Kuala Lumpur (18 Februari 2023), Perlis (20 Mei 2023) dan Sarawak (2 & 3 September 2023). Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 akan turut diadakan di negeri Kelantan, Johor dan dijangka berakhir di Putrajaya.

Program Anti-Scam Kebangsaan 2023 diilhamkan oleh Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) yang dianggotai oleh CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi, Bank Negara Malaysia (BNM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Ia turut mendapat sokongan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Dikeluarkan bersama oleh:

Jabatan Outreach & Komunikasi Korporat, CyberSecurity Malaysia

Jabatan Komunikasi, CelcomDigi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *