Tue. Apr 30th, 2024

KULIM, 4 SEPTEMBER 2023Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan Inisiatif Payung RAHMAH Bersama SJ Circle Sdn Bhd yang diadakan di Kulim Industrial Estate, Kulim, Kedah.

Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH, KPDN telah melancarkan empat (4) teras utama iaitu Jualan RAHMAH, Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH dan Pakej RAHMAH. Melalui Inisiatif Jualan RAHMAH, KPDN telah mempunyai 29 rakan strategik yang terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya rangkaian dan pihak pengeluar. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

Terdapat tiga (3) model Program Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile). Sehingga kini, jumlah PJR dan PJRB telah dilaksanakan di 1,748 lokasi di 222 parlimen sejak ianya diperkenalkan pada Januari 2023. PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan kini telah 2 menjangkau rakyat di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasar raya atau pasar raya besar. Untuk makluman, PJRB telah menjangkau rakyat Malaysia MADANI di bandar, pinggir bandar dan juga di luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

Selaras dengan saranan Kerajaan ini, SJ Circle Sdn Bhd akan memulakan penyertaan sebagai rakan strategik di bawah Inisiatif Payung RAHMAH dengan mengeluarkan produk lampin bayi pakai buang jenama MIDORI khusus bagi Jualan RAHMAH Bergerak. Jenama MIDORI ini boleh didapati dalam lima(5) bungkusan berbeza mengikut saiz iaitu S, M, L, XL dan XXL.

Untuk makluman, SJ Circle Sdn Bhd adalah sebuah syarikat perkilangan yang telah beroperasi sejak tahun 2016 dan telah mengeluarkan produk lampin pakai buang untuk bayi dan kanak-kanak bagi beberapa jenama seperti MIDORI dan Weezy serta lampin pakai buang dewasa jenama Senshine dan Sensof. Syarikat ini juga telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 oleh pihak LRQA serta status HALAL dari pihak JAKIM.

Selain itu, SJ Circle Sdn Bhd turut mempunyai rakan strategik di beberapa buah negara luar seperti Kemboja, Thailand, Vietnam dan India, di samping pasaran tempatan sedia ada. KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

Mengikut Laporan Indeks Pengguna pada Julai 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa kadar inflasi negara terus mereda pada kadar 2.0% berbanding bulan sebelumnya iaitu 2.4%. Namun, ianya jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia (3.1%), Singapura (4.1%) dan Filipina (4.7%). Dalam konteks ini, KPDN akan terus melaksanakan pelbagai gerak kerja dalam memastikan agenda menangani kos sara hidup ini diberikan tumpuan utama dalam agenda Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri dari pelbagai sektor di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *