Fri. May 24th, 2024

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PESSO) memberi penghormatan kepada 90 anak yatim, 40 ibu tunggal dan 11 penerima PERKESO dari Lembah Klang hari ini pada Majlis Berbuka Puasa PERKESO 2023, yang diadakan sempena Ramadan 1444 Hijrah.

Dalam majlis yang sederhana tetapi meriah, Yang Berhormat Tuan V.Sivakumar Menteri Sumber Manusia telah menyerahkan sumbangan kepada tetamu yang diraikan seperti hamper, duit raya, baju raya dan juga bayaran faedah PERKESO.

Bayaran faedah berjumlah lebih RM174,000 telah disampaikan kepada 11 orang penerima faedah, di mana lima (5) orang menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), lima (5) lagi faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan seorang menerima faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Majlis Iftar PERKESO merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan setiap tahun bagi mengeratkan jalinan kemesraan PERKESO dengan para penerima faedah, terutamanya mereka yang telah kehilangan orang tersayang. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi dan peranan PERKESO sebagai penyedia perlindungan keselamatan sosial kepada pelbagai golongan di negara ini termasuk suri rumah.

Turut hadir mengiringi Yang Berhormat Tuan V.Sivakumar di majlis yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur ini adalah Yang Berhormat Tuan Mustapha Sakmud,Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO dan Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.

PERKESO berharap Majlis Iftar ini dan sumbangan yang disampaikan dapat menyuntik kegembiraan kepada para penerima faedah yang diraikan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lebih kurang seminggu lagi.

Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023. Pelancaran simbolik ini membuka tirai kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Belajawan 2023 yang telah diamanahkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO. Dengan peruntukan lebih RM313 juta, PERKESO telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasi 10 inisiatif bagi pengukuhan perlindungan keselamatan sosial dan pemerkasaan pasaran buruh tempatan.

Seiring dengan peranan PERKESO sebagai Penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Negara, Insentif Kerjaya Madani menumpukan kepada usaha meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasar menerusi Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya.

Di bawah program Daya Kerjaya, insentif kewangan disediakan untuk majikan bagi pengambilan pekerja baharu mulai 1 januari 2023 dari kalangan belia atau individu yang lama enganggur dan golongan rentan seperti orang asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol serta bekas banduan dan graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), ataupun lepasan sekolah yang menganggur lebih dari 30 hari. Majikan boleh membuat permohonan mulai 1 April 2023. Program ini menyasarkan 58,000 pengambilan pekerja oleh majikan yang akan menerima insentif sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh 3 bulan bagi setiap pekerja yang digajikan.

Program Daya Kerjaya TVET atau Program Transisi Pekerjaan pula menyasarkan 17,000 permohonan dalam kalangan perantis TVET dan lepasan sekolah yang menganggur sekurang-kurangnya 30 hari untuk menjalani Program Peningkatan Kemahiran dengan pembiayaan bayaran latihan sehingga rm4,000.

Manakala Program Bina Kerjaya bertujuan meningkatkan potensi individu bekerja sendiri dalam sektor informal untuk memperoleh pekerjaan formal. Ini akan dilaksanakan mellaui pengajian RPEL, micro-credential atau pensijilan professional atau kompetensi yang diiktiraf institusi pengajian tinggi awam dan swasta/ Jabatan Pembangunan Kemahiran/ Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)/ badan ikhtisas/ pusat bertauliah yang diiktiraf oleh badan peneraju industri seperti ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), BOE (Board of Engineers) dan MIA (Malaysia Institute of Accountants). Kadar bayaran latihan yang dibiayai di bawah program ini adalah sehingga RM4,000 manakala elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan bagi tempoh maksimum 3 bulan. Sebanyak 30,000 permohonan disasarkan untuk program ini.

Pemerkasaan pasaran buruh di bawah Belanjawan 2023 turut melibatkan Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC Seluruh Malaysia yang akan dilaksanakan PERKESO secara berperingkat. Sehingga hari ini, sebanyak 292 buah Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara telah dibangunkan bagi memperluaskan akses peluang pekerjaan kepada para pencari kerja. Daripada jumlah tersebut, 13 buah pusat satelit ditempatkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Inisiatif perlindungan keselamatan social Belanjawan 2023 yang akan dijalankan PERKESO meliputi Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Geran Caruman Suri Rumah Miskin untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Program Saringan Kesihatan PERKESO Pasca-COVID 19, Geran Penjagaan Kanak-kanak bagi Wanita Kembali bekerja, dan Program LINDUNG+.

PERKESO komited melaksanakan Insentif Kerjaya Madani dan semua inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 demi pemerkasaan pasaran buruh negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia, yang seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

 

 

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *