Wed. May 22nd, 2024

Penerimaan operasi bersepadu OPS MANIS merupakan salah satu kawalan di peringkat Kementerian untuk mengenal pasti punca asas dan penyelesaian yang berdaya maju bagi isu kekurangan gula. Selain itu, penguatkuasaan OPS MANIS adalah strategi serampang dua mata untuk membaiki gangguan bekalan gula di semua peringkat rantaian bekalan, memastikan “pembelian panik” tidak berlaku, memastikan setiap peniaga mengamalkan pematuhan undang-undang, memantau kewujudan inventori stok penimbal gula (stockpile) di kilang atau gudang penyimpanan, dan memastikan tiada isu penyeludupan gula ke negara jiran.

Untuk makluman, penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu kekurangan bekalan gula telah ditubuhkan pada 3 Mei 2023. Sehubungan itu, pelaksanaan operasi bersepadu OPS MANIS 2023 telah dilancarkan bermula 3 Mei 2023 sehingga 9 Mei 2023 (tempoh 7 hari pelaksanaan).

Aduan kekurangan bekalan telah diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bermula 23 Mac 2023 iaitu pada awal bulan Ramadan dan kekurangan bekalan gula ini semakin meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 22 April 2023. Kementerian telah mengambil tindakan segera diatas semua aduan yang diterima dan berhubung dengan wakil pengilang gula utama iaitu syarikat MSM dan CSR.

Pada 2 Mei 2023 perbincangan khas mengenai isu bekalan gula telah diadakan yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Azman Bin Mohd Yusof , Ketua Setiausaha KPDN bersama Ketua Kumpulan Komersial Syarikat MSM, Tengku Haidar Tengku Ahmad dan Ketua Eksekutif Syarikat CSR, Encik Mohamad Zuki Wan Abdullah. Hasil perbincangan khas tersebut, pihak pengilang telah memberi jaminan bahawa keadaan kekurangan bekalan akan dipulihkan semula dan memaklumkan tiada pemotongan kuota bekalan kepada pihak pemborong. Kekurangan bekalan gula berkemungkinan disebabkan cuti panjang pekerja syarikat pengilang atau Distribution Centre (DC) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Hasil pelaksanaan OPS MANIS yang dilancarkan bermula 3 Mei 2023 sehingga 6 Mei 2023 mendapati isu gangguan bekalan yang berlaku semakin pulih. Pemborong-pemborong utama di kedua-dua negeri telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di seluruh Kawasan.

Hasil laporan data OPS MANIS yang diterima menunjukkan peningkatan stok penerimaan gula bagi kedua-dua negeri dengan anggaran peningkatan sebanyak 36% dalam 4 hari sahaja berbanding anggaran purata penerimaan gula bagi negeri Kelantan adalah sebanyak 400MT seminggu dan bagi negeri Terengganu sebanyak 300MT seminggu (Asas rujukan data: Laporan Mingguan Pengeluaran dan Pengedaran Pengilang MSM dan CSR). Manakala, dengan pelaksanaan OPS MANIS juga didapati aduan-aduan yang diterima semakin berkurang dan menurun kepada purata 1 aduan bagi sehari pemeriksaan sahaja. Petugas Khas juga melaporkan tiada kes diambil keatas peniaga kerana tiada kesalahan sorok, enggan menjual barang kawalan atau lain-lain kesalahan ditemui. Sehingga 6 Mei 2023, sebanyak 132 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Kelantan dan 224 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Terengganu.

Pengguna dinasihatkan agar tidak panik dan membuat pembelian sesuai dengan keperluan semasa. Manakala bagi pengguna industri, mereka digalakkan untuk membeli gula yg bersaiz 50 kg bagi mengelakkan kekurangan gula bersaiz 1kg dan 2 kg dipasaran.

Sekiranya mana-mana pihak ditemui melakukan kesalahan, individu atau syarikat tersebut boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 & Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011.

Akta Kawalan Bekalan 1961: (a) Bagi individu boleh dikenakan denda tidak lebih RM 1 juta atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Untuk kesalahan kali kedua, boleh didenda tidak melebihi RM 3 juta atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. (b) Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta dan untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM 5 juta.

Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 (a) Bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali atau boleh dikompaun RM 50,000.00 (b) Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM 500,000. 00 atau dikompaun sehingga RM 250,000.00.

Pelaksanaan OPS MANIS selama 4 hari bermula 3 Mei 2023 sehingga 6 Mei 2023 telah memberikan impak positif dalam menangani isu kekurangan bekalan gula yang berlaku di negeri Kelantan dan Terengganu. KPDN akan sentiasa komited mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barangbarang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi yang akan merugikan negara.

YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG, 7 MEI 2023.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *