Sat. Apr 27th, 2024

Majalah 3 sekali lagi berjaya merangkul pencapaian yang membanggakan dengan meraih anugerah Best In National Documentary Program di Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia 2023 pada hari Sabtu yang lepas.

Ini merupakan pencapaian kedua diraih Majalah 3 bagi tahun 2023 setelah program dokumentari yang berusia hampir 4 dekad ini turut memenangi anugerah Dokumentari Terbaik menerusi majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), MPI Petronas baru-baru ini. Pencapaian seperti ini merupakan satu penanda aras kepada peningkatan kualiti program dan juga bukti kecemerlangan di peringkat kebangsaan serta di peringkat global.

Menurut Christine Lee Mei Chin, Penerbit Kanan dan Ketua Produksi Majalah 3, “Program dokumentari ini telah mencapai usia hampir 40 tahun dan saya amat terharu atas pencapaian yang diperoleh. Pengiktirafan sebegini secara tidak langsung menyuntik lagi semangat pasukan saya yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyambung legasi yang diamanahkan kepada kami. Jutaan terima kasih diucapkan kepada penonton kerana terus percaya dan setia menyokong Majalah 3. Sokongan mereka menyuntik semangat kami menerbitkan kandungan yang lebih baik dan berkualiti serta berinformasi khas untuk tontonan semua.”

Bertemakan Faces of Excellence, Majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia atau Malaysia Best Business Award 2023 anjuran Media Home Communication telah mengumpulkan 50 usahawan yang berjaya dalam pelbagai kategori perniagaan masing masing. Majlis yang gilang gemilang ini bertujuan untuk meraikan golongan usahawan sama ada secara individu mahupun syarikat yang berjaya meneruskan usaha masing-masing tatkala ekonomi dilanda cabaran getir tanpa menyerah kalah dan terus berjuang dalam bidang tersendiri.

Teruskan menyokong dan menonton Majalah 3 kerana program ini akan terus memaparkan topik-topik yang segar dan menarik khusus kepada penonton setia TV3.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *